Normah Damanhuri sedih komen netizen

KUALA LUMPUR: Masih panas dengan kontroversi penari lelaki berpakaian wanita seksi membuat persembahan pada majlis perkahwinan anak, Normah Damanhuri mengaku komen netizen membuat dirinya sedih terutama apabila dikritik cara dia mendidik keluarga.

Normah berkata, sebagai ibu, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menegur anak-anak jika ada perkara yang dirasakan tidak betul dilakukan mereka.

“Saya tak tahu nak cakap apa… Orang selalu nampak saya membiarkan apa sahaja anak buat.

“Tetapi sebagai ibu, semestinya saya menegur mereka tanpa henti jika ada salah silap pada pandangan mata saya. Takkan saya nak biarkan sahaja?

“Benda yang tidak elok saya tak sokong, begitulah juga sebaliknya… Masing-masing sudah besar,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, netizen mengkritik klip video yang memaparkan aksi penari dipercayai lelaki menyerupai wanita sedang berdansa dengan rutin disifatkan keterlaluan pada majlis perkahwinan anak Normah, Ahya Rosli yang berkonsepkan tradisional Melayu.

Klip video itu tular selepas dikongsi kakak Ahya, Liana atau lebih dikenali sebagai Kak KM di Instagram.

Netizen bagaimanapun, menyelar persembahan itu dan menyifatkan Ahya tidak wajar membenarkan penari beraksi sedemikian pada majlis yang dihadiri kanak-kanak dan warga emas.

Dalam permohonan maafnya, Normah menjelaskan, beliau tidak sangka persembahan hiburan untuk tetamu itu mengundang perasaan kurang senang netizen sehingga keluarganya menerima kritikan hebat.

Normah berkata, dia bagaimanapun tidak marah kepada netizen.

“Cuma, sesetengah komen mereka membuatkan saya sedih. Ada yang mengatakan, apabila kena hentam barulah nak minta maaf.

“Ada juga yang menganggap saya menyokong perkara ini dan saya jugalah yang merakamkan videonya. Saya tak faham kenapa mereka suka membuat tuduhan sebarangan?” katanya.

Ditanya mengenai beberapa komen yang dilayangkan membangkitkan kemarahan netizen, Normah berkata:

“Betul, saya sempat membalas komen netizen. Saya komen bukan kerana netizen mengkritik majlis itu, tetapi mereka pergi ke ‘posting’ gambar lain dan menghentam kami anak-beranak menggunakan kata-kata yang sangat kesat.

“Walaupun anak-anak sudah melarang saya daripada membalasnya, sebaliknya abaikan sahaja komen terbabit.

“Namun, sebagai ibu, saya marah kerana mereka bercakap mengenai anak-anak saya seolah-olah mereka tiada agama… Saya bukannya malaikat.”

Normah kesal netizen yang tidak tahu hal-ehwal keluarganya, melemparkan tuduhan sesuka hati.

“Kalau mereka tidak tahu mengenai kami anak-beranak, jangan cakap sebarangan. Apakah mereka tahu bila anak saya bersedekah, bila anak-anak ke masjid, bila mereka membantu golongan memerlukan? Tidak… Mereka tak tahu kerana keluarga kami bukannya suka menunjuk-nunjuk perkara kebaikan yang dibuat.

“Kerana terlalu geram, saya membalas komen mereka. Tetapi tidak lama kemudian, saya padamkan semula,” katanya.

Ahya atau nama penuhnya Ahya Ulumuddin Rosli, 32, bernikah dengan gadis pilihan yang dikenali sebagai Shahirah di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur, pada 29 Mac lalu.

Sumber – BHonline